Hidup
kita tidak lekang dari disangka buruk dan menyangka buruk. Jika diri
terlibat, kunci menanganinya adalah beristighfar dan taubat. Nabi
s.a.w bersabda :-
كُلُّ بن آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
Ertinya
: "Setiap anak Adam itu ada kesilapan ( dosa) dan orang berdosa yang
terbaik adalah mereka yang bertaubat" (Riwayat At-Tirmidzi, no 2499,
4/659)
Sangka
buruk ini sering berkait rapat dengan rasa hasad, dengki atau cemburu.
Ia amat-amat sukar dibuang namun wajiblah ia dimasukkan dalam senarai
utama yang perlu kita usaha hindarinya sedaya upaya. Saya sendiri tidak
bebas darinya. Namun atas dasar nasihat menasihati saya tuliskan artikel
ini agar kita sama-sama mampu berusaha menjauhinya agar kehidupan kita
akan lebih diredhai oleh Allah.
Ia bertepatan dengan apa yang disebut di dalam sebuah hadis
ثلاث
لازمات لأمتي : الطيرة ، والحسد ، وسوء الظن " . فقال رجل : ما يذهبهن يا
رسول الله ! ممن هو فيه ؟ قال : " إذا حسدت فاستغفر الله ، وإذا ظننت فلا
تحقق ، وإذا تطيرت فامضه
Ertinya
: Tiga perkara lazim yang sukar dibuang oleh umatku : mengganggap sial,
hasad dengki dan bersangka buruk" lalu seorang lelaki bertanya :
"apakah yang boleh menghilangkannya wahai Rasulullah ?"
Jawab
Nabi : Jika kamu datang perasaan hasad dengki beristighfar lah kamu
kepada Allah, apabila kamu bersangka buruk, janganlah kamu membenarkan
sangkaan itu, dan apabila kamu menganggap sial belaku, abaikan dan
jangan endahkannya" ( At-Tabrani, no 3227, 3/228 ; Al-Haithami : Dhoif
kerana perawi bernama Ismail Bin Qais)
Terdapat sebuah lagi hadis yang mempunyai erti yang sama dengannya iaitu :-
ثلاثة لا يسلم منهن أحد : الطيرة ، والظن ، والحسد ، فإذا تطيرت فلا ترجع ، وإذا حسدت فلا تبغ ، وإذا ظننت فلا تحقق
Ertinya
: Tiga perkara yang tidak seorang Muslim pun dapat melepaskan diri
darinya; sial menyial, sangka buruk, hasad dengki; maka apabila kamu
berasa ada sial, jangan kamu pulang dan mengendahkannya, bila kamu
hasad, jangan melampau (hingga bertindak) , dan bila kamu bersangka
jangan kamu membenarkannya" ( Musannaf Abd Razzak : Ibn Hajar : hadis
mursal, Albani : Dhoif)
Al-Qaradawi
menerangkan maksud jangan kamu membenarkan sangkaan buruk itu adalah
dengan tidak berubahnya sikap dan pandangan kamu terhadap orang yang
disangka buruk itu. Jika itu tidak dikawal, bermakna kamu sudah
membenarkannya
SANGKA BURUK YANG HARUS
Tidak
dinafikan ada beberapa jenis sangka buruk yang diperlukan demi
keselamatan diri. Ia juga dinamakan berhati-hati atau ‘hazar'. Mudahnya,
seperti pemandu kereta dikehendaki ‘bersangka buruk' apabila melihat
sebuah bas dan teksi di depan mereka akan bersangka buruk ada
kemungkinan kenderaan itu berhenti mengejut kerana ingin mengambil
penumpang atau menurunkan penumpang. Ia jelas sangka buruk yang tidak
berdosa.
Demikian juga dalam proses majikan ingin mengambil kakitangan baru. Biasanya pihak majikan akan membuat survey
rambang dengan menghubungi beberapa orang yang yang mengenali calon,
bagi mendapatkan pandangan mereka berkenaan kemampuan dan lain-lain
informasi berguna berkaitan calon. Saya masih ingat, saya pernah
menerima Curriculum Vitae (CV) sewaktu bertugas di institusi kewangan dahulu, CV calon ini cukup menarik sekali.
Namun
mengikut prosedur, sebelum pihak kami memanggil interview, saya perlu
menghubungi seseorang yang diyakini mengenali si calon untuk mendapatkan
komen beliau, akhirnya kami tidak jadi memanggilnya interview kerana
rupanya calon tersebut mempunyai masalah mental. Kami daptkan komen
beberapa orang lagi demi memastikan info yang diberi benar serta tidak
berniat jahat. Namun info yang sam a diperolehi.
SANGKA BURUK YANG HARAM
Sangka
buruk jenis haram dan berdosa ini biasanya didasari oleh perasaan
cemburu, hasad, dengki dan berniat ingin menjatuhkan individu yang
dijadikan sasarannya.
Sangka
buruk jenis ini juga hakikatnya lahir dari jiwa dan minda seseorang
yang kotor. Ia adalah refleski dirinya yang kerap bergelumang dengan
kejahatan dan dosa. Atau dari jiwa yang tiada ikhlas dalam membuat
sesuatu perkara.
Justeru,
dalam mindanya kerap tergambar mustahil ada seseorang boleh berbuat
atau bercakap baik kecuali mesti ada helah, agenda kepentingan diri dan
muslihat di sebalik. Ia berfikiran demikian kerana demikianlah dirinya. Ia melihat orang lain sepertinya.
JENIS PERTAMA : KERANA ALIRAN POLITIK
Sangka
buruk jenis pertama ini didasari oleh permusuhan politik kepartian.
Sangka buruk ini juga sangat popular di masa ini terutamanya di zaman
isu politik sentiasa hangat.
Memang
benar, setiap orang politik kerap mempunyai agenda disebalik segala
tindakannya, biasanya adalah untuk kepentingan masa depan politiknya.
Namun tidak wajar dinafikan ada antara mereka yang benar-benar berniat
membantu dalam sesuatu tindakannya.
Hasilnya,
apabila ada saja seorang ahli politik PAS melakukan satu tindakan yang
patut dipuji pada zahirnya, akan wujud sebahagian kumpulan dalam UMNO
yang mentakwil apa yang tersirat dan tujuan sebenar dari setiap tindakan
baik yang dibuat, sehinggalah ia AKAN dilihat jahat dan tidak layak
mendapat pujian, penghargaan dan terima kasih.
Demikian
juga sebaliknya, apa sahaja tindakan politik yang baik dibuat oleh
pemimpin UMNO, akan sentiasa dilihat jahat oleh sebahagian pihak
pembangkang. Saya tidak kata semua, namun saya kata ada sebahagian mereka.
Sebagai
contoh apabila kerajaan Pak Lah mengumumkan pembayaran Ex-Gratia kepada
bekas-bekas hakim yang terlibat dalam kes 20 tahun lepas, maka ada yang
tetap tidak mahu menghargai tindakan itu lantas berkata :-
"Mengapa baru sekarang? Nampak sangat ia dibuat dengan agenda tertentu"
Individu
dalam kategori ini biasanya akan merasakan diri mereka bijak, sukar
diperdaya serta mampu melihat dari dimensi yang luar biasa (kononnya).
Namun
jika ada pimpinan mereka atau rakan mereka yang melakukan kesilapan yang
terang-terang tersalah dan tidak boleh ditakwil lagi, mereka akan
bersangka baik pula demi membela segala tindakan tersebut atas dasar
maslahat katanya. Bagus, ia memang satu sifat yang baik, tetapi boleh
menjadi buruk jika tidak betul cara kendaliannya.
Keadaan
ini amat membimbangkan kerana ia seolah-olah menjadikan sangka buruk
sebagai satu keperluan politik. Tatkala itu, dosa menjadi mainan diri.
Sangka baik pula adakalanya digunakan bukan pada tempat yang sepatutnya
sehingga menjadikan diri taksub kepada team mereka.
JENIS KEDUA : KERANA ALIRAN PEMIKIRAN DAN ANUTAN
Kali
ini ia didasari oleh aliran pemikiran pula. Manusia tidak boleh lari
dari perbezaan aliran pemikiran. Tidak perlulah dikesali hal ini kerana
ia satu hal yang normal. Namun yang dikesali adalah permusuhan dahsyat
antara satu kumpulan dengan yang lain.
Sebagai
contohnya aliran Salafi, Wahabi, Khalafi, Pondok, Sufi, Syiah Malaysia,
Hizb Tahrir, Ahbash, Liberal, Hadari dan lain-lain. Masing-masing
kelihatan suka kalau pihak yang lain dibenci sehabis mungkin, malah
mungkin wujud mereka yang akan sujud syukur jika pimpinan kumpulan
sebelah sana meninggal dunia.
Tatkala
itu sangka buruk sentiasa menjadi idaman dan ruh perjuangan
masing-masing. Jika ada sahaja tindakan yang baik dilakukan oleh
pimpinan atau ahli aliran yang bertentangan dengan mereka. Akan
ditakwilkan sejahatnya.
Sebagai
contoh yang saya kira paling nyata adalah apa yang berlaku kepada Mufti
Perlis. Tiba-tiba Mufti Perlis semakin berterus terang mengkritik
beberapa dasar kerajaan yang kurang tepat sebagai contohnya ISA.
Akhirnya, pelbagai sangka buruk timbul antaranya,
-
Kononnya ia bersifat demikian hanya selepas pilihanraya 8 Mac, iaitu setelah dilihat kerajaan lemah dan pakatan rakyat kuat, lalu barulah dia bersuara untuk ‘membodek' kerajaan pakatan rakyat untuk melantiknya pula.
-
Kononnya beliau berani kerana ingin memenangi hati pemimpin pakatan rakyat kerana tempoh sebagai mufti di Perlis sudah di penghujung.
-
"Mengapa sekarang baru nak kritik, mengapa tidak dari dulu lagi, nampak sangat ada udang di sebalik batu.?!!" Tempelak mereka.
Dan macam-macam lagi.
Saya
kerap dengar komen "mengapa baru sekarang!!?" sebagai hujjah untuk
membidas segala kebaikan orang lain. Wajarkah komen sebegini?
Saya dan rakan-rakan pembaca juga tentu ada penglaman masing-masing dalam hal ini.
Bila
saya sebut masalah hukum di dalam ASB, syubhat dan keraguan aqad dalam
MLM, pelaburan haram cepat kaya.. muncul orang marah lalu berkata:-
"Mengapa
baru sekarang ustaz sibuk-sibuk, mengapa tak beritahu awal-awal dulu,
ni kami dah join lama dan untung ribu-ribu baru nak sibuk kata haram,
jangan dengki la ustaz. Mesti sebab ustaz ni ada join skim lain dan
sekarang dah rugi kot" Katanya.
Saya
menjadi pelik pula. Apa yang perlu dipertikaikan dengan sekarang atau
dulu, bukankah kekuatan, hidayah, ilmu dan kemampuan itu baru tiba kini
dan bukan dahulu. Justeru apa yang perlu dipertikaikan.?
Bersyukur
sahajalah jika ia membawa kebaikan. Sama juga dengan keadaan kesihatan,
dulu sihat, sekarang sakit, dulu kanak-kanak sekarang dewasa dan
lain-lain. Jadi apakah wajar kita beteriak memarahi virus yang
menghinggapi kita lalu berkata
"hei virus, mengapa sekarang mahu kacau, mengapa tidak dulu!!. Lucu juga memikirkannya.
Jawapan
mengapa sekarang itu mudah saja, mungkin dahulu belum cukup kajian dan
ilmu, sekarang sudah..kerana itu baru bersuara sekarang.
Mungkin dahulu ada gangguan, sekarang sudah berjaya diketepikan lalu kerana itu baru bersuara sekarang.
Dulu, mungkin belum terperasan kesilapan itu, sekarang baru sedar, kerana itu baru tegur.
Justeru, mengapa masih ada juga ingin sangka buruk dalam hal seperti ini?.
JENIS KETIGA : PERTIKAI KEBAIKAN & KEIKHLASAN ORANG LAIN
Jenis
yang ketiga adalah hasil dari kesemua jenis di atas. Akibat sudah
mendarah dagingnya perangai dan tabiat itu menyebabkan kehidupan
seharian akan dipenuhi dengan sangka buruk dosa ini.
Saya
masih ingat di waktu heboh isu pelaburan internet skim cepat kaya dahulu
(Ketika itu, Majlis Fatwa Kebangsaan masih belum memfatwakan haramnya
skim ini). Ada individu menghantar link satu forum kepada saya, forum
itu membicarakan artikel saya yang menyebut hukum skim haram.
Tiba-tiba
mucul seorang former yang berkata :"puas aku fikir dan cari di web
zaharuddin ini, apakah niat sebenar si zaharuddin ini sibuk-sibuk
menulis isu ini dan menyusahkan kitorang, apa yang dia hendak
sebenarnya?"
"akhirnya aku jumpa, rupanya dia nak jual vcd dia!!, hem tak respeklah aku ust nak jual barang dia ni"
Begitulah
lebih kurang ayatnya, demikian dahsyatnya manusia di zaman ini. Otak
dan mindanya sentiasa memikirkan kejahatan dan muslihat di sebalik
segala jenis kebaikan, baginya mustahil ada orang sanggup bersusah payah
tanpa ganjaran dan agenda DUNIA.
Ini bolehlah saya kelaskan sebagai kumpulan orang sangka buruk jenis ketiga yang wujud di dalam masyarakat kita.
Sebagai contoh lain.
Ada
yang menghantar sms, email atau melalui system sms 33221 (sistem ini
telah ditutup sementara waktu) bertanya sambil bersangka buruk berkenaan
orang di sekitarnya:-
a-
"Ustaz ada dengar tak slot Dr ..xxxxx pengasas ayam organik di radio
ikim. Cara cakapnya macam dia sorang yang halal, dan semua yang tanda
halal JAKIM tidak boleh pakai. Apa pandangan ustaz tentang dakwaan Dr
ini dan perjuangannya memartabatkan makanan yang betul-betul halal
kononnya tu?.. boleh caya ke. Nampak macam nak perkayakan diri sendiri
jer"
b-
"PPIM ni sebenarnya ustaz bukan nak perjuang isu kepenggunaan Islam,
mereka nak jual nama persatuan mereka, lepas ni senang nak dapat budjet"
c-
"Ustaz ni dah buat tebiat apa? Dalam banyak-banyak urusan umat yang
begitu kritikal, sempat pula dia menulis buku cinta(n)!", simpul seorang
pemerhati jarak jauh. (petikan dari web saifulislam.com)
d-
"eleh ustaz-ustaz TV ni, hanya layak mendapat gelaran ‘pelawak' dari
penceramah, asyik buat lawak aja. Depa ni sebenarnya sedang jual
agamanya untuk popular di televisyen"
e-
"Saya benci dengan ustaz yang tak jelas parti apa ni, bagi saya mereka
ni munafiq dan hanya pentingkan perut mereka saja, kerana itu tidak
berani berterus terang"
f- "Kecewa dengan ustaz. Mengapa ustaz tak aktif lagi dalam perjuangan jemaah Islam, ustaz dah futur dan tergelincir dari perjuangan dakwah ke?" Tanya seorang bersangka buruk kepada saya melalui ruang komentar.
g-
Seorang isteri dinasihatkan oleh seorang penulis artikel bahawa : "jika
suami anda tiba-tiba baik, spoting, romantik, ketahuilah sebenarnya ia
ada benda jahat yang sedang disorokkan"
Banyak
lagi contoh-contoh yang tidak larat saya kumpulkan, ia cuma beberapa
contoh betapa budaya sangka buruk berbaur dengki dan hasad begitu meriah
dalam masyarakat kita hari ini. Tidak bolehkah kita bersangka baik
terlebih dahulu. Semua punyai peranannya, samada seseorang itu ikhlas
atau tidak, itu bukan urusan kita untuk bersangka buruuk mereka tidak
ikhlas atau punyai agenda lain.
Malah
jika mereka memang punyai agenda tetapi agenda yang halal, maka TIADA
salahnya. Selagi mana zahir tindakan mereka tadi adalah baik SERTA
menghasilkan kesan yang baik kepada masyarakat umum. Kita wajar
bersangka baik dan menyokongnya tanpa perlu menghentam sambil menambah
dosa dan menyubur kebencian di hati.
Allah swt mengingatkan :-
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ
Ertinya : Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah
kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak tergelincir ke
dalam sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari
sangkaan itu adalah dosa..." [Surah al-Hujurat, ayat 12]
Imam Fakhruddin Ar-Razi menghuraikan :
الظن ينبغي بعد اجتهاد تام ووثوق بالغ
Ertinya
: "Sangkaan ini mestilah disokong oleh ijtihad ( usaha bersungguh
memastikan kebenarannya, dan penyelidikan yang dalam" ( Tafsir Ar-Razi,
28/115 )
Justeru,
dalam hal mencari keikhlasan seseorang dalam sesuatu teguran dan usaha
baikknya, Islam tidak menyuruh kita menyelidik hati seseorang. Hanya hal
berkaitan zahir seperti jenayah, kesalahan fizikal dan yang sepertinya
sahaja memerlukan penyelidikan yang disebutkan oleh imam Ar-Razi tadi.
Namun begitu, kepada para pendakwah, teruskan usaha anda dengan cara anda yang tersendiri.
Jangan
dipedulikan hasad dan sangka buruk manusia lain yang berhati busuk.
Malah Nabi s.a.w sendiri juga pernah terkena sangka buruk seorang lelaki
sebagaimana dicatatkan dalam hadis sohih berikut :-
قال
فَقَامَ رَجُلٌ غَائِرُ الْعَيْنَيْنِ مُشْرِفُ الْوَجْنَتَيْنِ نَاشِزُ
الْجَبْهَةِ كَثُّ اللِّحْيَةِ مَحْلُوقُ الرَّأْسِ مُشَمَّرُ الْإِزَارِ
فقال يا رَسُولَ اللَّهِ اتَّقِ اللَّهَ قال وَيْلَكَ أو لست أَحَقَّ
أَهْلِ الأرض أَنْ يَتَّقِيَ اللَّهَ قال ثُمَّ وَلَّى الرَّجُلُ قال
خَالِدُ بن الْوَلِيدِ يا رَسُولَ اللَّهِ ألا أَضْرِبُ عُنُقَهُ قال لَا
لَعَلَّهُ أَنْ يَكُونَ يُصَلِّي فقال خَالِدٌ وَكَمْ من مُصَلٍّ يقول
بِلِسَانِهِ ما ليس في قَلْبِهِ قال رسول اللَّهِ إني لم أُومَرْ أَنْ
أَنْقُبَ قُلُوبِ الناس ولا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ
Ertinya : Berdiri seorang lelaki yang matanya ke dalam, lebat janggutnya, kepalanya tercukur lalu berkata :
"Wahai
Rasulullah bersikap takutlah kepada Allah" ( Sebagai tanda tidak puas
hati terhadap pembahagian yang dilakukan oleh Nabi),
Baginda menjawab : "Bukankah aku sepatutnya ( sebagai Rasulullah ) orang yang paling takut kepada Allah."
Lelaki itu terus beredar dan Khalid Ibn Walid berkata
"Adakah
perlu aku memenggal kepalanya (kerana tidak taat kepada pembahagian
yang dilakukan oleh Nabi dan seolah-olah telah murtad) :
Baginda menjawab : "Tidak, mungkin ia orang yang masih menunaikan solat".
Khalid
berkata : "Berapa ramaikah yang menunaikan solat dan lidahnya berkata
seusatu yangtidak sama dengan apa yang di dalam hatinya (merujuk kepada
orang munafiq)"
Baginda membalas :-
إني لم أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ قُلُوبِ الناس ولا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ
Ertinya
: "Aku tidak diperintahkan untuk meninjau hati manusia (menjangkakan
niat manusia lain) dan mengorek perut mereka" ( Riwayat Al-Bukhari, no
4094, 4/1581 : Muslim, 2/742 )
Imam An-Nawawi dan Ibn Hajar mentafsirkan kata-kata baginda ini sebagai :-
إنما أمرت أن آخذ بظواهر أمورهم والله يتولى السرائر
Ertinya
: Aku hanya diperintahkan untuk mengambil kira luaran urusan mereka
sahaja manakala niat dan apa yang terselindung adalah urusannya dengan
Allah) (Syarah Sohih Muslim, 7/163; Fath Al-Bari, 8/69 )
KESIMPULANNYA
Akhirnya,
jauhilah sangka buruk yang sebahagiannya membawa dosa. Dahulukan sangka
baik di kalangan umat Islam selaras dengan arahan Allah.
لَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ الْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بِأَنفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا هَذَا إِفْكٌ مُّبِينٌ
Ertinya : Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: ""Ini adalah suatu berita bohong yang nyata. ( An-Nur : 12 )
Banyakkanlah
bersangka baik. Sebenarnya masih ada ramai orang baik yang berbuat baik
hanya kerana agenda akhirat semata-mata. Janganlah dirasakan dunia ini
sudah tiada yang ikhlas kerana Allah. Mulakan dengan diri sendiri lalu
anda akan mampu mencari orang sepertinya.
Namun, apa
yang menyedihkan mereka yang kerap bersangka buruk kepada kebaikkan ini
suka pula bersangka baik kepada penganjur skim-skim cepat kaya yang
tumbuh dengan pelbagai nama dan lesen hari ini. Sepatutnya anda perlu
bersangka buruk lebih sedikit dengan skim-skim sebegini. Ia dinamakan
berhati-hati yang sebenar.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman